(Sumber : http://www.pakdi.net/kita-bakal-mendapat-yang-terbaik-dari-syarikat-unit-trust-atau-syarikat-takaful-sekiranya-kita-tahu-apa-yang-kita-beli/)
“Encik, antara ABC Mutual dengan XYZ Investment mana lagi bagus?” tanya seorang peserta dalam ceramah baru-baru ini.
“Tuan, mana satu syarikat takaful yang paling baik?” tanya seorang peserta dalam sesi yang lain pula.
Soalan-soalan ini adalah antara soalan yang sering saya terima khususnya dalam siri seminar / bengkel yang diadakan. Berikut adalah isi jawapan saya.
1. Bagi saham amanah dan takaful, produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat berkaitan adalah lebih kurang sama. Apa yang penting adalah apakah objektif kita mendapatkan produk saham amanah atau pun takaful itu tadi?
2. Kita tidak beli syarikat. Kalau nak beli syarikat saham amanah atau pun syarikat takaful barulah soalan tersebut boleh diguna pakai. Kita hanya membeli produk-produk yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat tersebut.
3. Berdasarkan kenyataan no 2 di atas, kalau kita menyatakan saya baru melabur dalam XYZ Investment Management Sdn Bhd atau saya baru beli Alif Ba Ta Takaful, maka sama ada kita yang adakefahaman yang salah atau kita baru sahaja mendapatkan maklumat yang tidak tepat dari ejen / jurujual.
4. Khusus bagi pelaburan saham amanah, dua perkara penting yang perlu kita tahu adalah objektif dana yang kita beli. Andaikan kita membeli saham amanah dari ABC Mutual, kita kena tahu apakah nama dana tersebut dan apakah objektif pelaburan dana itu tadi. Keduanya, apakah caj yang terlibatdalam setiap pembelian itu tadi.
5. Saya maklum, ramai dari kita tidak peduli tentang itu semua kerana yang penting adalah pulangan. “Saya tidak peduli dia melabur di mana asalkan dapat pulangan yang saya mahu. Ejen saya ada.” Ketahuilah, kalian mudah menjadi mangsa kalau terus mengambil sikap sebegitu.
6. Khusus untuk takaful, maka kita perlu ambil tahu adakah ia adalah skim untuk 36 penyakit kritikal sahaja atau ada perlindungan tambahan untuk penyakit lain kah misalnya. Kita perlu bertanya danfaham terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian yang bakal kita tandatangan.
7. Saya maklum, ramai dari kita tak begitu mahu ambil tahu tentang terma dan syarat yang ada dalam perjanjian kerana yang penting orang kata kena ada takaful. Maka ketahuilah, kita mungkin tidak dapat perlindungan kewangan yang sepatutnya apabila sampai waktu kita memerlukannya.
8. Seterusnya, memandangkan syarikat-syarikat ini selalunya menggunakan ejen / jurujual, maka untuk menjadi orang yang celik wang kita perlu tahu juga sedikit sebanyak mengenai produk saham amanah dan takaful, paling kurang produk yang ditawarkan kepada kita. Tidak tahu 100% tahu 10% pun memadai.
9. Pelaburan saham amanah misalnya, kita paling minima tahu apa itu perbezaan pelaburan dalam instrumen bon Islam (sukuk) dan pasaran saham. Jangan mengharapkan ejen untuk memberikan maklumat yang 100% tepat untuk kita kerana lebih banyak yang kita tahu selalunya kita menjadi lebih cerewet.
10. Begitu juga dengan produk takaful, kena tahu dalam situasi mana kita layak mendapat tuntutan. Berapa kah jumlah perlindungan maksima kita? Apakah yang menyebabkan kita tidak lagi layak mendapat perlindungan dari mereka dan seterusnya. Ya, lagi banyak kita tahu kita akan jadi lebih cerewet dan jurujual ini selalunya hanya menjual sahaja mengikut apa yang mereka mahu dan bukanapa yang kita mahu!
Maka, begitulah saya menjawab persoalan tuan puan iaitu syarikat apakah yang terbaik untuk kita?
p.s. Buku Rancang Wang Dari Sekarang memberikan panduan terperinci untuk membantu kalian mengenal pasti objektif pelaburan seterusnya membantu kalian mendapatkan produk pelaburan yang lebih tepat.
( Kesimpulannya, nak beli produk2 kewangan macam kat atas ni, penting kena ada ilmu...macam kita beli kereta la...takkan kita beli sembarangan sahaja kan? mesti kita kena tahu serba sedikit pasal kete tu...berapa cc,keluasan kereta, bape roadtax setahun etc sbb kita nak sesuaikan dengan keperluan kita...sama la juga dengan produk2 kewangan ni pun..kalau beli just ikut cakap jurujual, mmg kena tapau je la jawabnya nanti kalau nasib tak baik...)
No comments:
Post a Comment